Wednesday, August 13, 2008

Masjid Dato’ Muar pusat bimbingan saudara baru

Sinar Harian 13 Ogos 2008
KUALA PILAH - Masjid Dato’ Muar di pekan Kuala Pilah digunakan oleh Yayasan Kasih Sayang (YKS) Negeri Sembilan sebagai pusat bimbingan saudara baru.

Presidennya, Muhammad Adnan Abdullah berkata, masjid milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) itu telah dibaik pulih dan YKS mengambil inisiatif untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti anjurannya sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, YKS sering mengadakan aktiviti keagamaan di masjid ini seperti kelas agama setiap Rabu dan majlis bacaan Yassin setiap malam Jumaat yang membabitkan penyertaan daripada saudara baru dan orang ramai.

“YKS juga menganjurkan program pada hari kebesaran Islam seperti Israk Mikraj dan aktiviti memeriahkan lagi Ramadhan yang bakal tiba ini,” katanya.

:Sementara itu, Timbalan Presiden 1 YKS, Redzuan Tahar menjelaskan pelbagai aktiviti sempena Ramadhan dan hari raya telah dirangka oleh YKS bagi meraikan saudara baru.

“Sepanjang Ramadhan kami akan mengadakan majlis berbuka puasa dan solat sunat terawih bersama-sama di masjid ini dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis,” katanya.

Manakala bagi sambutan hari raya pula, beliau menjelaskan satu program akan dijalankan iaitu Program Di Ambang Syawal di mana YKS akan sama-sama meraikan hari raya di masjid ini dengan saudara baru bermula pada hari terakhir Ramadhan.

“Kita akan menyediakan juadah berbuka bersama-sama dan pada sebelah malamnya pula kita akan memasak juadah hari raya untuk hidangan keesokan harinya bersama-sama saudara baru dan orang ramai di masjid ini juga,” jelas Redzuan.

Menurutnya, apa yang istemewa YKS akan menyediakan hidangan hari raya yang memenuhi menu utama semua bangsa dan bukan hanya ketupat dan rendang tetapi turut menghidangkan masakan India, Cina dan lain-lain lagi untuk menunjukkan bahawa agama Islam bersifat universal.

Selain itu, YKS akan menganjurkan satu Forum Bicara Kasih bersempena Majlis Malam Amal YKS 2008 pada 15 Ogos bermula jam 8 malam di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Seremban.

Mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai majlis ini boleh menghubungi talian 06-4810092 atau 019-2569724 (Redzuan) sebagai urusetia program berkenaan.

:YKS juga mempelawa saudara baru seluruh Negeri Sembilan untuk menghadiri program Di Ambang Syawal bagi sama-sama menyambut Aidilfitri dengan suasana meriah.

Saudara baru atau orang ramai yang berminat boleh menghubungi talian di atas.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story1839516.asp